Tuesday, July 2, 2013

PERLUKAH MELAYU PADA UMNO???


Mekanisme perpaduan nasional ciptaan Umno runtuh satu demi satu tanpa mencapai matlamatnya. Tampaknya idea atau pendekatan Umno yang lebih bersifat 'akulah yang betul dan kamu kena ikut aku' tidak mencapai sasaran dan menjadi kenyataan, Kebobrakan perpaduan atau solidariti di dalam BN yang diungguli Umno yang kalut hari ini membuktikan hakikat itu.
Apa lagi yang Umno hendak jadikan alasan bahawa perpaduan yang diciptanya terbaik? Pengakuan dibuat oleh bekas hakim mahkamah rayuan Mohd Noor Abdullah yang meminta orang bukan Melayu agar membalas pengorbanan orang Melayu (baca Umno) yang mengorbankan tulisannya membuktikan akan kegagalan mekanisme perpaduan nasional Umno itu.

Katanya orang Melayu mengorbankan tulisan jawi yang menjadi kebanggaan orang Melayu dengan menukarnya kepada tulisan rumi di mana penukaran itu menyebabkan tulisan yang menghampiri orang Melayu dengan tulisan Quran dan Hadith terhapus.

Menurutnya itu adalah pengorbanan besar orang Melayu (Umno) untuk mencapai perpaduan nasional. Alasannya kalau tulisan jawi itu tidak ditukar menyebabkan orang Cina dan lain-lain tidak dapat belajar bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu katanya orang Cina perlu bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu setiap hari sebagai membalas pengorbanan itu. Padangan demikian menunjukkan bukan saja kesilapan tetapi kecetekan akal orang Melayu dalam menilai hati budi dan budaya kaum lain.

Suara Mohd Noor itu bernada kesal dan kecewa atas sikap yang ditunjukkan oleh orang bukan Melayu (baca Cina). Ini tentunya implikasi daripada keputusan pilihan raya lalu di mana undi Cina tidak berpihak kepada Umno. Mohd Noor telah menjustifikasikan pandangan itu berpandukan pengundin lalu.

Semasa berucap dalam satu forum Mohd Noor menjelaskan Umno - orang Melayu telah melakukan pengorbanan melupuskan tulisan jawi dan ditukar dengan rumi kerana mengharap perpaduan dari kalangan orang Cina.

Malang pengorbanan itu tidak dihargai bila mana orang Cina tetap menulis dalam bahasa ibundannya. Kewujudan sekolah Cina dan sepanjang masa orang Cina mahu mahu mempertahankan sekolah mereka menjelaskan orang Cina tidak tunduk kepada kemahuan itu dan pengorbanan yang disebut Mohd Noor itu tidak pernah dihormati. Maka itu jadilah pengorbanan Umno itu sia-sia saja. Tidak memelikkan kerana orang Melayu sebenarnya terlalu berbudi bahasa dan suka menyanjungi tetamu dari orang sekampung.

Inilah kelemahan orang Melayu terutamanya pemimpin Umno. Mereka lemah mengenai psikologi dan antropologi dan buta pula mengenai sejarah serta bersikap diplomasi dan tolerasi dengan orang Cina yang akhirnya menyebabkan orang Cina jadi naik junjung. Seharusnya Umno kekalkan tulisan jawi dan mewajibkan sehingga orang Cina perlu mempelajarinya, bukan dengan melupuskan.

Tulisan jawi yang menjadi kebanggaan dan identiti orang Melayu dihapuskan dizaman Khir Johari menjadi menteri pelajaran awal tahun 70-an. Penghapusan itu diredai oleh Umno. Perhimpunan agung Umno selepas itu tidak serius membangkitkan perkara itu menyebabkan penghapusan itu diteruskan. Di sini sekali lagi pemimpin Umno dan juga ahli-ahlinyua tidak bersifat futuristik.

Kesilapan orang Umno dalam hal ini mereka tidak pernah membuat semakan kepada mekanisme-mekanisme perpaduan tajaan mereka seperti soal tulisan jawi itu. Mereka tidak pernah membuat penlaian apakah ia berkesan atau tidak. Dalam kata lain Umno tepengaruh dengan idealisme Barat yang melihat budaya dan ciri-ciri Islam itu sebagai sesuatu yang kolot dan pramitif.

Bercakap soal mekanisme perpaduan tajaan Umno ini bukan saja dalam soal penghapusan tulisan jawi tetapi banyak lagi pendekatan atau pengorbanan-pengorbanan kurba lain yang dilakukan Umno tetapi ianya sesia. Kalau boleh disebut Melayu juga membuat pengorbanan dalam bidang bahasa, kebudayaan, hatta agama Islam juga. Umno yang menjadi kerajaan lebih 55 tahun melakukan toleransi tinggi terhadap budaya dan agama sendiri serta meliberalisasikan kependidikan sehingga kabur tujuan dan matlamat hakikat.

Tolenrasi dalam apsek ini adalah pengorbanan Umno untuk mencapai perpaduan nasional. Kerana itu juga Umno sanggup berperang dengan parti pembangkang Pas yang obsess kepada Islam. Umno dan Pas terpaksa ada kalanya berpatah arang dan berkerat rotan dalam soal ini semata-mata kerana hendak mewujudkan perpaduan nasional mengikut jalur Umno yang berdasarkan sekularisme. Penolakan Umno kepada undang-undang syariat adalah salah satu sebabnya kerana mengharapkan wujudnya perpaduan nasional dan sekaligus menunjukkan Umno tidak yakin dengan kesyumulan Islam.

Mengenai desakan atau keluhan dibuat oleh Mohd Noor itu ia mungkin sudah terlewat. Apakah Umno sedia untuk berpatah dan surut ke belakang memperbetulkan apa yang silap itu dan mengembalikan semula idenitti Melayu menerusi tulisan jawi itu? Apakah ianya tidak kontradik dengan gelombang transformasi Najib Razak?

Berpatah ke belakang itulah sebaik-baiknya, tetapi tindakan untuk mengembalikan semula tulisan jawi itu satu tindakan yang akan diketawakan oleh orang ramai. Nawaitu itu samalah dengan cuba mengajarkan kura-kura berjalan dengan cara memterbalikan belakang ke tanah. Dalam situasi orang bukan Melayu kian ampuh dengan berbagai kuasa, tidak mungkin untuk Umno surut ke belakang semula walaupun cara itu adalah terbaik.

Pun begitu sekiranya Umno dan orang Melayu seperti disuarakan oleh Mohd Noor itu berani, mereka boleh lakukan kerana tidak ada guna Umno terus melakukan pengorbanan sedangkan ianya tidak dinilai sebaik mungkin. Kalau Umno hendak berpatah balik bukan saja mengenai tulisan jawi, tetapi aspek-aspek lain juga yang masih boleh dilakukan seperti budaya, sistem pendidikan (dasar pendidikan) dan toleransi terhadap agama Islam juga perlu difikirkan semula. [wm.kl.8:01 am 20/06/13]



Orang cerdik juga begitu...

Bekas hakim kontroversi Datuk Mohd Noor Abdullah menggesa orang bukan Melayu agar membalas pengorbanan orang Melayu yang merelakan bahasa mereka ditulis dalam skrip Rumi demi perpaduan kebangsaan.

Menurutnya, bahasa Melayu pada asalnya ditulis dengan huruf Jawi tetapi bagi memastikan ia mudah dipelajari semua kaum sebagai bahasa kebangsaan, orang Melayu merelakan ia ditulis dengan huruf Rumi.

"Pengorbanan ini perlu dibalas orang bukan Melayu dengan belajar bahasa Melayu, dan menggunakan bahasa Melayu setiap hari," kata Mohd Noor dalam syarahannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, orang Melayu merelakan penukaran skrip itu walaupun ia berkemungkinan menjauhkan orang Melayu daripada al-Quran dan hadis.

"Kalau tulisan bahasa Melayu (dalam) Jawi, bagaimanakah orang Cina, India hendak belajar bahasa kebangsaan dalam Jawi? Oleh itu, bahasa Melayu menggunakan skrip atau tulisan Rumi.

"Ini adalah satu pengorbanan orang Melayu kerana apabila orang Melayu membenarkan bahasa kebangsaan itu menggunakan Rumi, maka jauhlah orang Melayu daripada tulisan Jawi, Al-Quran dan hadis yang semuanya menggunakan tulisan Jawi.

"Demi perpaduan, orang Melayu sanggup mengubah Rumi ke dalam bahasa Melayu," katanya.

Diambil dan diolah dari tulisan Mohd Sayuti Omar

Monday, July 1, 2013

SIAPA PEJUANG @ SIAPA BERJUANG



Ramai dalam sejarah insan-insan yang ditabalkan sebagai pejuang. Rekod kehidupan mereka membuktikan bahawa mereka memang pejuang. Mereka berani menanggung risiko perjuangan. Mereka bukan sahaja sanggup berkorban tetapi benar-benar telah berkorban kerana perjuangan mereka. Mengharungi rintangan yang pahit dan cabaran yang getir sehingga mahu tidak mahu mereka diiktiraf oleh sejarah. Jika tidak pun pada hari mereka hidup, mereka akan diiktiraf selepas mereka mati. Jika tidak diiktiraf oleh golongan yang berkepentingan, mereka kelak tetap akan diiktiraf oleh golongan yang sedar dan insaf akan kepahlawanan mereka. Pun begitu ada juga pejuang yang dilupakan. Ada juga wira yang tidak didendang dan dikenang.

Ciri Pejuang

Pejuang itu muncul dalam pelbagai medan dan cara. Namun bersatu dalam beberapa perkara asas. Mereka ada matlamat yang dapat difahami, ada keberanian untuk mencapai matlamat tersebut dan ada kesanggupan untuk menanggung bebanan perjuangan. Orang yang tidak tahu matlamat perjuangannya tidak boleh dianggap pejuang. Orang yang bacul juga bukan pejuang. Orang yang tidak sanggup berkorban dan mengharungi susah payah dalam membayar harga perjuangan juga tidak layak digelar pejuang. Orang yang menyuruh orang lain memanggilnya wira ataupun pejuang, sedangkan dia tidak berkorban bahkan meratah keuntungan atas hasil usaha orang lain lagilah tidak layak digelar pejuang.
Apabila pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka menjemput saya pada 2-3 Julai ini untuk mengulas novel sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan berjudul ‘Penyeberang Sempadan’, maka saya pun membaca novel tersebut sehingga habis. Novel yang memenangi Hadiah Sako itu memang menarik untuk dibaca. Kisah tentang seorang pejuang yang dimunculkan oleh keadaan kemudian hidup dalam kebingungan mencari arah dalam dunia yang penuh tidak pasti. Watak utama yang diberi nama ‘Kuay’ dalam novel itu merupakan pejuang bersenjata bersama komunis yang menentang British sebelum kemerdekaan. Beliau menjadi ‘orang buruan’ dan terus dianggap sebagai ancaman kepada negara walaupun selepas 20 tahun negara merdeka. Dari novel itu saya terfikir, siapakah pejuang?! Orang seperti Kuay, seperti Mat Indera dan seumpama mereka, apakah dianggap pejuang?

Kehebatan

Dalam sejarah, kita melihat orang seperti Che Guevara yang berjuang dengan senjata dan gerila. Saya terpesona dengan kesanggupan dan pengorbanannya. Ada yang seperti William Wilberforce yang berjuang menerusi politik dan parlimen. Saya amat kagum dengan kesungguhannya, bahkan dengan isi perjuangannya yang mulia. Berjuang untuk satu hasrat yang murni iaitu pembebasan hamba. Sanggup mempertaruhkan kepentingan politik dan menerima tekanan demi hasrat tersebut.

Filem mengenainya ‘The Amazing Graze’ benar-benar menjadikan perasaan sebak dan semangat membakar. Nelson Mandela juga hebat sebagai pejuang. ‘Long Walk to Freedom’ menjadikan kita terpukau dengan kesanggupan menanggung derita yang begitu berat untuk sebuah perjuangan yang diyakini benar. Sanggup dipenjara, tidak rela dibebaskan jika perjuangan tergadai. Hebat!

Gandhi juga pejuang yang hebat yang menggunakan sentiment rakyat untuk mencapai kepentingan perjuangan yang baik. Florence Nightingale merupakan wanita gigih lagi mulia yang berjuang untuk memberi khidmat kepada orang lain. Menonton filem Sang Pencerah menjadikan saya bersemangat untuk mengikuti watak utamanya iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh besar sejarah tajdid agama di Indonesia. Terasa menusuk jiwa. Perjuangan dan cabaran. Bak kata sang sufi ‘sesiapa yang tidak rasa, tidak dapat memahaminya’. Terlalu ramai lagi jika hendak disebutkan dalam sejarah pembinaan tamadun manusia. Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang, bukan semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua pegangannya. Kita mungkin tidak bersetuju dengan ‘socialism’ Che Guevera, namun kita perlu akur dia pejuang yang handal dan ada nilai-nilai positive yang patut dipuji pada dirinya.

Iktiraf

Golongan agama di samping membaca dan mengkaji tentang sejarah para pejuang ‘agama’, perlu juga melihat sejarah para pejuang lain dari pelbagai latar supaya kita memiliki horizon penilaian yang lebih luas. Jika pun kita tidak bersetuju, kita wajar juga mengiktiraf kesungguhan dan mempelajari strategi yang telah mereka lalui. Bahkan tidaklah salah untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan mereka dan menyertainya jika ternyata itu satu kebaikan. Seperti yang selalu disebutkan bahawa Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda:  “Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”.

Di samping kita juga perlu tahu, mungkin ramai dalam kalangan mereka yang tersenarai sebagai pejuang itu tidak sampai kepada mereka ajaran Islam yang sebenar. Maka, kita tidak boleh menuntut untuk mereka mendasari perjuangan mereka kepada ajaran Islam seperti yang kita fahami. Firman Allah: (maksudnya) “Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)

Dikenang

Ramai pejuang yang tidak dikenang semasa hayat mereka. Bahkan kebanyakan pejuang itu menderita semasa hidup mereka. Diburu, dihina, dicerca, dipenjara, diseksa bahkan ada yang dibunuh.

Nilai perjuangan pula, diukur berdasarkan kepada aliran masing-masing. Seseorang mungkin dianggap pejuang oleh satu pihak, tetapi mungkin pulak dianggap pengkhianat oleh pihak yang lain. Bukan semua pejuang mendapat pengiktirafan menyeluruh oleh bangsa dan negaranya. Betapa ramai pejuang yang difitnah semasa hayat mereka dan fitnah itu terus dibawa sehingga mereka telah lama pergi meninggalkan dunia ini. Kemudian apabila pejuang itu dikenang, apa penghargaan yang hendak diberikan selepas mereka tiada?!

Saya pernah berkata kepada seorang ketua negara yang berbicara dengan saya secara peribadi bahawa ramai pemimpin yang dikenang jasanya dengan diberikan nama bangunan, atau jalanraya atau sekolah atau bandar sempena namanya. Dapatkah dia merasai nikmat itu? Dapatkah dia merasa kenikmatan hanya kerana namanya disebut selepas mati? Sedangkan dia berhadapan dengan Tuhan yang akan mempersoalkan segala tindakan dan amalannya.

Ramai pula yang mengaku jujur dan ikhlas, sedangkan maksud sebenarnya Allah mungkin tidak demikian. Maka dalam Islam, seseorang yang hendak berjuang, terlebih dahulu hendaklah dia membetulkan niatnya dengan tuhannya. Keimanan yang luhur kepada pembalasan baik dan buruk terhadap amalan di dunia ini boleh menjadikan seseorang itu pejuang yang sejati. Balasan nikmat dari Allah itu yang paling diharapkan. Pengiktirafan Allah itu maha penting. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.  Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).

Tiada syurga untuknya, sebaliknya baginya neraka. Maka, dalam Islam sesiapa yang ingin berjuang hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, kemudian memastikan dia berada pada landasan perjuangan yang betul yang Allah redha padanya. Nabi s.a.w pernah ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, pejuang Islam ialah seorang ikhlas niat dan benar jalan perjuangan yang dipilihnya.