Sunday, May 15, 2016

KABARET CINTA SEGI TIGA PAS/PH/UMNOBN...SG BESAR DAN KUALA KANGSAR

SUNGAI BESAR, KUALA KANGSAR UJIAN "CINTA TIGA SEGI" PAS

Siapakah sebenarnya yang paling "susah hati" untuk menghadapi pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang besar kemungkinan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru kali ini?
UMNO dan BN? 

Mungkin tidak kerana kedua-dua kerusi itu memang milik mereka sebelum ini. Kalah atau menang tidak menjejaskan apa-apa kepada kedudukan kerajaan, meskipun kekalahan barangkali lebih mencalarkan sedikit imej Najib Razak serta boleh digambarkan sebagai penolakan rakyat yang makin ketara terhadap kepimpinannya. Kemenangan BN dalam kedua-dua pilihanraya kecil tidaklah juga boleh dibanggakan sangat berikutan kuasa wang dan kelebihan jentera kerajaan memang memihak kepadanya.

Pakatan Harapan?

Juga tidak mungkin susah hati kerana kalah atau menang tidak memberi banyak kesan kepada kedudukan gabungan pembangkang itu, walaupun kerajaan negeri Selangor dikuasai oleh mereka. Cuma jika Amanah bertanding di kedua-dua kerusi itu dan menang, ia mampu menyuluhkan cahaya lebih terang kepada perjalanan masa depannya yang lebih meyakinkan. Sebagai parti baru, jika kalah pula, tentu saja ia dianggap biasa dan dapat diterima oleh sesiapa jua, malah merupakan pengalaman berharga buat Amanah. 

Pas?

Dalam kedudukan sekarang, Pas pada hakikatnya sedang terperangkap dalam "cinta tiga segi" antara UMNO dengan PKR yang kedua-dua parti itu ingin "dilayan dan dikasihinya" sebagai teman pembawa bahagia. Setelah keluar daripada Pakatan Rakyat kerana beberapa pertembungan dengan DAP dan perpecahan dalamannya sehingga tertubuhnya Amanah, Pas sebaliknya masih bertahalul siyasi dengan PKR di Selangor. Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Azmin Ali masih dianggotai oleh Pas dan tiga wakil rakyatnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. Banyak jawatan lain dalam kerajaan negeri juga diserahkan kepada ahli Pas. Tetapi di peringkat pusat, Pas enggan menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah dan parti itu mahu bergerak sendirian. Hanya beberapa bulan kebelakangan, ia bergabung dengan sebuah parti kecil, Ikatan yang dipimpin oleh Kadir Sheikh Fadzir.

Dalam masa yang sama, khususnya melalui Hadi Awang dan Dr. Haron Din, Pas lebih cenderung ingin berbaik-baik dengan UMNO dan BN, meskipun Najib diperkatakan di seluruh dunia berhubung skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya. Beberapa kenyataan Presiden Pas seperti mengatakan partinya tak kemaruk kuasa untuk perintah negara, hanya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan dan sedia berpakaian sedondon merah jambu dengan Najib dalam satu majlis, jelas memberi bayangan mengenai hala tujunya, sekurang-kurangnya selagi ada Hadi Awang sebagai penaraju dan Dr Haron Din selaku Mursyidul Amnya. Sementara Pas dilihat masih "sayang" kepada PKR di Selangor, walaupun enggan menyertai Pakatan Harapan, ia sebaliknya turut "saling memikat" dan sesekali juga berani "keluar dating" dengan UMNO

Jadi, dalam pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini, apa yang patut dilakukannya? Jika Pas turut bertanding di Sungai Besar dan katalah Amanah yang bertanding di situ, ia dianggap seperti mengkhianati hubungan cintanya dengan PKR yang menjadi salah satu komponen dalam Pakatan Harapan? Sanggupkah dalam kempen-kempen nanti, pemimpin Pas mencela dan menghentam Pakatan Harapan sedangkan melalui tahalul siyasinya, wakil parti itu masih memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk Exco dan lain-lainnya? Jika ingin menguji kesetiaan Pas, adalah lebih baik jika PKR yang dipilih bertanding di Sungai Besar.

Apa pilihan Pas ketika itu agaknya? Dalam masa yang sama, sanggupkan juga pemimpin Pas menghentam dan membalun Najib berkaitan beberapa isu yang terpalit dengannya sedangkan kedua-duanya "saling memikat" dan Najib pula sedia bersusah payah meluangkan masa setiap kali Hadi Awang dan Dr. Haron Din dimasukkan ke hospital? Di Kuala Kangsar, jika Pas bertanding, ia mungkin tidak begitu dikaitkan dengan Pakatan Harapan kerana di Perak, ia memang tidak bertahalul siyasi dengan mana-mana parti. Namun, ia memberi kesan yang sama juga dalam hubungan "saling memikatnya" dengan UMNO.

Bagaimana kempen dan gerak kerja Pas di Kuala Kangsar? Oleh kerana Pas adalah parti yang biasa membalun dan menyalahkan pihak lain, khususnya kerajaan, dalam kempen dan ceramahnya, siapakah yang akan disasarkannya dalam kempen itu nanti? Jika UMNO dan Najib dijadikan bahan kempen oleh Pas, sudah tentu tersinggung sampai ke tulang hitam Pahlawan Bugis dibuatnya. Menghentam Pakatan Harapan juga tidak masuk akal dalam kempen Pas di Kuala Kangsar kerana gabungan itu bukan kerajaan di peringkat negeri. Rakyat juga akan pelik jika pembangkang menghentam sesama pembangkang. Maka, apa pilihan Pas yang sebaik-baiknya? Dalam hal ini, terbukti bahawa bermain "kayu tiga" atau mengamalkan "cinta tiga segi", tetap menyusahkan bukan saja dalam hubungan manusia, bahkan juga dalam politik dan kuasa.

Pilihan terbaik bagi Pas ialah tidak bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kali ini dan meneruskan "cinta tiga seginya" seperti sedia ada kerana parti itu nampaknya lebih ingin berbahagia dengan cara begitu daripada kemungkinan putus hubungan dengan salah seorang "kekasihnya" itu. Sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya 2018, nikmat hubungan "cinta tiga segi" itu masih banyak dapat diraih, dikutip dan dinikmati sepuas-puasnya sebelum membuat keputusan muktamad sama ada "berkahwin" dengan salah satunya atau meninggalkan kedua-duanya untuk benar-benar hidup sendirian. Jika bertanding juga, kemungkinan salah seorang "kekasihnya" merajuk dan jauh hati lalu meninggalkannya adalah besar sekali

1 comment:

Unknown said...

saya mengucapkan banyak terimakasih kepada KI HADAK yang telah menolong saya dalam kesulitan,ini tidak pernah terfikirkan dari benak saya kalau nomor yang saya pasang bisa tembus dan ALHAMDULILLAH kini saya sekeluarga sudah bisa melunasi semua hutang2 kami,sebenarnya saya bukan penggemar togel tapi apa boleh buat kondisi yang tidak memunkinkan dan akhirnya saya minta tolong sama KI HADAK dan dengan senang hati beliau mau membantu saya..,ALHAMDULIL LAH nomor yang dikasi KI semuanya bener2 terbukti tembus dan baru kali ini saya menemukan dukun yang jujur,jangan anda takut untuk menhubungiya jika anda ingin mendapatkan nomor yang betul2 tembus seperti saya,silahkan hubungi KI HADAK DI 085=259=457=111 ingat kesempat tidak akan datang untuk yang kedua kalinya dan perlu anda ketahui kalau banyak dukun yang tercantum dalam internet,itu jangan dipercaya kalau bukan nama KI HADAK