Monday, November 28, 2011
Rakyat Bos!!! bukan Sivaji The Boss????
Sememangnya pentadbiran sesebuah negara mempunyai tiga tiang utama, penggubal undang-undang (legislative), pelaksana undang-undang dan pentadbiran (executive) dan badan kehakiman (judiciary). Secara ideal dalam sesebuah demokrasi, ketiga-tiga badan ini harus diasingkan supaya mereka tidak terikat atau pun dipengaruhi antara sesama mereka.
Doktrin pemisahan kuasa atau seperation of powers ini dilihat lebih terlaksana di Ameri Syarikat, walau pun di kebanyakan negara Barat dan negara-negara lain yang matang demokrasi, di mana ketiga-tiga cabang itu dilihat bebas antara satu sama lain, juga turut dilaksanakan.
Di Malaysia, kita mengadaptasikan sistem parlimen ala Westminster yang tidak begitu terpisah tiga anggota pentadbiran tersebut.
Sebagai contoh, seorang Ahli Parlimen yang mencadangkan sesuatu undang-undang juga adalah seorang Menteri (eksekutif) yang akan melaksanakan dan menguatkuasakan undang- undang tersebut.
Demokrasi terpimpin atau suara rakyat?
Secara idealnya, wakil-wakil rakyat ini harus membawa bersama mereka aspirasi dan keinginan rakyat di dalam dasar penggubalan undang undang baru. Menteri pun seharusnya begitu, apatah lagi seorang Perdana Menteri yang mewakili aspirasi dan keinginan bahagian majoriti dalam sesebuah negara.
Itulah perdebatan sepanjang zaman atau pun retorik golongan politkus konservatif terhadap golongan politikus liberal, bahawa mereka bukanlah pemimpin tetapi hanya pengikut golongan majority. Oleh itu mereka dikatakan tidak layak memimpin masyarakat.
Jika membawa persoalan ini ke dalam konteks Malaysia, itulah persoalannya. Pemimpin yang perlu berfikir untuk kita, atau pun pemimpin harus bertindak mengikut kehendak rakyat?
‘Demokrasi terpimpin’ atau pun ‘suara rakyat’? Leaders know best or people know best?
Tidak dinafikan bahawa mereka yang menyertai arena politik negara terutamanya kelas atasan dalam susun atur struktur parti politik masing-masing adalah golongan yang cerdik pandai. Biasanya mereka lulusan unversiti, golongan profesional, golongan ilmuwan; kesimpulannya, ‘cerdik pandai’.
Ia bukan kebetulan bahawa empat daripada enam Perdana Menteri kita mempunyai latar belakang undang undang, dan juga seorang doktor.
Namun demikian adakah mereka berhak untuk berkata bahawa mereka lebih tahu segala-galanya dari kita? Perlukah kita dengan ‘demokrasi terpimpin’?
Pemimpin lebih bijak dari rakyat?
Perlukah kita dengan sistem para ‘cerdik pandai’ yang kononnya lebih bijak daripada rakyat yang kurang cerdik untuk menentukan arah hidup dan hala tuju masyarakat kita?
Rakyat sudah jemu diperlekehkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Namun demikian kerajaan pada hari ini masih gagal dalam mendengar hati nurani dan aspirasi rakyat.
Bagi golongan muda, mereka hairan bercampur marah dengan alasan alasan para menteri yang mahu terus mengekalkan undang-undang yang menyekat kebebasan pelajar, pensyarah dan akademik Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Adakah itu kemahuan rakyat, yakni mereka yang berada di dalam kampus dan mereka yang berada di luar kampus menanti orang di dalam kampus yang bakal memimpin rakyat?
Setelah kejayaan besar perhimpunan aman Bersih 2.0, Perdana Menteri berjanji untuk lebih terbuka dan adil. Rakyat menarik nafas lega.
Namun, dalam sekelip mata, amalan lapuk yang anti-kebebasan dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, sekali lagi dilakukan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Jelas beliau sekali lagi berbohong dengan memperkenalkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang lebih teruk daripada Akta Polis yang selama ini menyekat hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Inikah aspirasi rakyat? Kita melihat bahawa sejak dari dahulu hingga kini, kerajaan bertindak lebih opresif mengekang rakyat daripada mengikuti kemahuan dan keperluan rakyat. Segala perkara mereka buat sesuka hati, bukan memikirkan tentang keperluan rakyat tetapi untuk kepentingan diri sendiri dan parti masing masing.
“Kami lebih tahu dari anda”
Sikap ini berpunca dari sifat angkuh “kami lebih tahu dari anda” yang diamalkan kerajaan sejak Merdeka, sama seperti warisan penjajah yang tidak menghormati anak-anak negeri. Rakyat dikelentong dengan janji-janji palsu, malah di Dewan Rakyat pun mereka berani berhobong walhal segala maklumat mudah didapati.
Inilah sikap kepimpinan zaman Perang Dingin yang masih menyangka internet dan kemajuan teknologi maklumat belum dicipta dan dikembangkan. Dengan sikap itulah tertimbulnya ideologi ‘demokrasi terpimpin’ yang lahir daripada perasaan elitis di mana mereka fikir bahawa mereka lebih tinggi darjat dan kedudukan daripada rakyat.
Kepimpinan negara dan negeri serta para pemimpin politik harus sedar bahawa mereka sebenarnya tidak lebih pandai dari rakyat. Kerajaan bukan bos atau tuan kepada ibu pertiwi. Kerajaan hanyalah pekerja atau paling tinggi pun sekadar pengurus untuk rakyat.
Rakyatlah pemilik sebenar negara ini. Pemimpin harus menurut keperluan rakyat. Pemimpin hanyalah wakil kepada kepada perasaan, jiwa, keinginan, dan aspirasi rakyat, bukannya rakyat yang harus mengikuti kehendak dan kegelojohan pemimpin.
Rakyat yang membayar gaji, elaun, percutian pemimpin kerajaan, dan segala yang kerajaan berikan pada rakyat adalah hak mutlak sebagai warganegara. Oleh itu, janganlah pemimpin kerajaan pandai-pandai mengatakan rakyat tidak tahu bersyukur apabila rakyat tidak bersetuju dengan pemimpin.
Pemimpin jujur tidak akan lari dari rakyat
Para pemimpin tidak perlu takut kepada rakyat. Mereka yang takut kepada rakyat biasanya ada sesuatu yang mahu disembunyikan, ada muslihat jahat dan mungkin benci kepada rakyat yang mereka pimpin.
Justeru, hapuskanlah undang-undang dan dasar yang mencengkam kebebasan rakyat. Dengarlah cakap rakyat sebagai pendokong tamadun Malaysia.
Jangan bohongi mereka yang jahil dengan mengatakan bahawa hak asasi manusia dan demokrasi itu merupakan senjata untuk menghancurkan ummah. Rakyat, terutamanya orang Melayu, semakin sedar bahawa Islam itu membawa ummah keluar dari kegelapan, dari penindasan, dari kekangan hak asasi.
Para pemimpin kerajaan, jangan cuba memperbodohkan dan memperlekehkan kuasa, kemampuan, dan bakat rakyat. Bersikap jujurlah kepada rakyat dan bawa harapan rakyat secara ikhlas.
Tidak perlu berbelanja besar untuk pakar media, tidak perlu mencipta slogan, membuka kedai, memperkenalkan klinik untuk beri ubat penahan sakit. Memadai sekadar mendengar aspirasi rakyat dan melaksanakannya untuk memastikan rakyat benar-benar diutamakan.
Sesungguhnya, para pemimpin lebih memerlukan rakyat berbanding rakyat menagih kepimpinan mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment