Saturday, December 3, 2011
PAU 2011...Transformasi atau Reformasi PRU13
Perhimpunan Agung Umno bagi tahun 2011 berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember.
Seperti biasa, media-media memberikan liputan meluas apatah lagi Umno merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara.
Perhimpunan kali ini amat penting oleh kerana ianya berlangsung sebelum pilihanraya umum (PRU) ke 13 yang dikatakan bakal berlaku tidak lama lagi.
Presiden Umno merangkap perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 3 April 2009 dari Tun Abdullah Ahmad Badawi memerlukan segera mandat dari rakyat.
Ini penting bagi Najib untuk terus memerintah negara sekaligus memperkemaskan kedudukannya dalam parti Melayu terbesar itu. Mandat yang beliau pegang pada ketika ini adalah kepunyaan Abdullah selepas PRU 12 pada 8 Mac 2008.
PRU 12 itu juga menyebabkan Abdullah tersingkir lebih awal berikutan “tsunami politik” — menyaksikan BN hilang penguasaan majority dua pertiga di parlimen dan kehilangan penguasaan di berberapa buah negeri seperti negeri terkaya di Asia Tenggara, Selangor Darul Ehsan.
Pertembungan transformasi dan “hardliner”
Tsunami politik pada PRU 12 telah mengubah lanskap politik negara. Parti-parti dalam BN mahu tidak mahu terpaksa mengikut sama dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
Umno tidak terkecuali dalam hal ini. Sebab itu sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan negara, Najib memperkenalkan gagasan 1 Malaysia. Gagasan ini diharap dapat membeli hati rakyat Malaysia terutamanya masyarakat bukan Melayu terutamanya kaum Cina.
Dalam berberapa pilihanraya kecil selepas PRU 12 dan pilihanraya negeri Sarawak, dengan jelas dapat dilihat undi kaum Cina memihak kepada parti pembangkang.
Ini yang merisaukan Najib. Jika trend ini berterusan, kita akan dapat saksikan sekutu rapat Umno dalam BN seperti MCA dan Gerakan bakal dimasukkan kedalam tong sampah sejarah. Jika Umno sahaja menang pilihanraya, agak sukar bagi parti tersebut untuk membentuk kerajaan bersama rakan-rakan BN.
Gagasan 1 Malaysia tidak menggembirakan golongan “hardliner” dalam Umno. Maka tertubuhlah Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang menyaksikan ramai ahli-ahli Umno yang terdiri daripada golongan “hardliner” menyertai pertubuhan tersebut.
Perkasa yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali bekas ahli Umno, kini ahli parlimen bebas, dalam jangkamasa yang tidak begitu lama menjadi popular kerana menjadi suara kepada golongan “hardliner” Umno.
Mata tertumpu ke PAU 2011
Perhimpunan Agung Umno 2011 menjadi tumpuan peminat politik tanah air untuk melihat apakah garis politik yang bakal diambil oleh Umno menjelang PRU 13.
Perhimpunan kali ini akan menyaksikan sama ada Umno berjaya menyampaikan idea untuk melakukan transformasi politik kepada ahli-ahlinya atau menjadi medan untuk memuaskan hati golongan “hardliner” dalam Umno.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, golongan “hardliner” merupakan golongan terbesar dalam Umno.
Pada ketika ini, kita dapat melihat bahawa golongan ini berpayung dibawah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin mewakili golongan ini dan dibelakang beliau adalah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Maka tidak hairanlah ketika merasmikan tiga sayap Umno iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri, ucapan Muhyiddin adalah ucapan untuk memuaskan hati golongan “hardliner” dalam Umno.
Parti pembangkang DAP, PKR dan PAS di “belasah” dengan menggila sehinggakan blogger Aspan Alias menggambarkan sebagai ucapan yang panik kerana takut kehilangan kuasa.
Cabaran Najib
Melihatkan senario ini, kita tertanya-tanya apakah Najib mampu untuk menjinakkan golongan ini? Golongan “hardliner” marah dengan tindakan Najib untuk menyesuaikan Umno dengan lanskap politik baru.
Ketika Najib mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal dimansuhkan pada malam sebelum 16 September, terlukalah hati golongan “hardliner” yang selama ini berkempen “Yes To ISA” bagi melawan kempen “No to ISA” dari NGO dan parti pembangkang.
Dalam ucapan dasar yang bertajuk “Umno menjuarai transformasi”, Najib menekankan tentang “Taat dan Setia” kepada parti. Selain itu beliau turut berbicara mengenai “Cinta dan Kasih” kepada Umno.
Ini adalah kerana Najib tahu bahawa penghalang kepada gagasan politik yang ingin dibawanya bukan rakyat Malaysia tetapi Umno itu sendiri. Golongan “hardliner” yang telah lama selesa dengan pendekatan lama Umno sudah pasti tidak mahu berubah mengikut arus semasa.
Tambahan lagi pendekatan “winnable candidate” yang mahu dilaksanakan oleh Umno dalam PRU akan datang yang pasti akan mengundang masalah besar dari kalangan “hardliner” dan “warlords” dalam Umno.
Jika gagal melakukan kompromi, tidak mustahil bakal berlaku sabotaj besar-besaran seperti yang dihadapi oleh Abdullah pada PRU 12.
Transformasi politik yang ingin dibawa oleh Najib tidak akan berjaya jika hanya dijuarai oleh orang-orang seperti Saifuddin Abdullah. Beliau merupakan “rare species” dalam Umno dan tidak begitu kuat untuk meyakinkan golongan “hardliner” yang telah lama bersarang.
Jadi apakah garis yang bakal dibawa oleh Umno menjelang PRU 13? Air dan minyak sudah pasti tidak boleh bercampur. Ketuanan Melayu pasti tidak kena dengan transformasi politik yang ingin dibawa Najib.
Apakah Najib mempunyai kekuatan besar untuk menjinakkan “hardliner” dan “warlords” dalam Umno? Atau Umno terpaksa melalui pengalaman parti Kuomintang (KMT) di Taiwan dalam rangka untuk melakukan transformasi?
Petikan tulisan dari blog Amin Iskandar...
RK...Kekalahan begitu begitu menakutkan pemimpin UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment