Jangan jadi Mat Jenin, berangan untuk mencapai impian
akhirnya mati jatuh menjunam ketanah… PR jangan lah berimpian menggunung untuk
memerintah Malaysia jika impian tidak diterjemahkan dalam erti kata sebenar,
bermuhasabah diatas kekalahan . walaupun kekalahan tersebut penuh dengan segala
muslihat pihak musuh. Jadi berharaplah PR akan lebih bijak lagi menangani
permainan. Walaupun diketahui padang tidak sama rata tapi bukan bermakna PR tidak
boleh mengatasinya, itulah dikatakan strategi.
“War room” harus digunakan sebaik mungkin dengan membina
formula yang lebih berkesan dengan mengambil kira segala aspek kemungkinan yang
bakal berlaku. Bukan hanya fokus
kemenangan saja menjadi keutamaan tetapi kekuatan jentera PR, tindakan jangka
pendek dan jangka panjang, penjenamaan dan memperkemaskini pimpinan. Memantapkan
kesepakatan PR dengan merealisasikan pembentukan Pakatan Rakyat dengan satu
logo dan lambang untuk menghadapi PRU 14 akan datang. Kesepakatan itu harus
diterjemahkan bagi menguatkan ikatan, membentuk hubungan akrab dalam jalinan
yang lebih muhibah lagi.
Lima tahun lagi, bukan sesuatu yang lama dan PR tidak gagal
dalam PRU 13 tetapi PR dinafikan kemenangan.
Rentetan peristiwa yang banyak
diperkatakan di media sosial dan media perdana seperti isu dakwat kekal,
pengundi hantu, isu pendatang asing diberi kewarganegaraan, black out, borang
SPR 14, peti undi yang datang kemudian dan perbagai lagi muslihat tetapi itu
bukanlah isunya lagi, sebab PR masih ada peluang melalui petisyen PRU. Isunya
sekarang penjenamaan harus dilakukan oleh PR jika ingin melakukan perubahan
dalam PRU 14. Bagaimana sistem ini boleh dilakukan, jika masa digunakan untuk
mencari kesalahan orang lain dengan membuat demo dan himpunan demi himpunan yang
kita tidak pasti kesudahannya. Biarlah pihak peguam yang dilantik mewakili
rakyat menyelesaikan di mahkamah dan rakyat akan menilai segala keputusan.
Rakyat bukan bodoh untuk menerima setiap keputusan jika tidak menyebelahi PR.
Demonstrasi bukanlah jalan pintas untuk PR mengambil kuasa,
rakyat akan jadi bosan kerana tiada kesudahanya. Rakyat akan berfikir dengan
adanya dan kerapnya demo atau himpunan jalanan seolah-olah hanya memberi
kelebihan dan menjaga segelintir pemimpin-pemimpin PR atau parti politik
tersebut. Apakah faedahnya kepada rakyat jika setiap minggu dan bulan adanya
himpunan. Perubahan apa yang di inginkan jika setiap himpunan itu berakhir
detik 12 malam dengan Pengerusi himpunan menjanjikan satu siri lagi himpunan
akan diadakan bulan depan…tetapi hakikatnya esok tetap seperti hari ini.
Usai PRU 13 menampakan kemajuan kepada PR dan inspirasi
rakyat, jadi jangan bebankan rakyat dengan perbagai unsur-unsur yang negatif.
Perubahan yang rakyat inginkan buat lah setakat termampu oleh pasukan PR.
Jika sebelum PRU 13 rakyat boleh menjadi sukarelawan tampa meminta-minta
imbuhan kenapa sekarang setelah PRU13 selesai tidak gunakan segalanya untuk
membentuk sukarelawan juga. PR harus melihat resource yang ada bagi
membangunkan sistem dan “check and balance” terhadap parti Pemerintah.
Jika parti pemerintah mempunya mempunyai Jawatan Kuasa
Kemajuan Kampung (JKKK) PR pun harus ada JKKK disetiap Kawasan, jika parti
pemerintah mempunyai Ahli Majlis di setiap Majlis Tempatan, PR pun harus
mempunyainya juga. Kenapa? Rakyat tidak menagih elaun, tidak menagih imbuhan
selagi mana mereka boleh bekerja secara ikhlas dalam parti kenapa ini tidak
boleh, yang penting kebajikan mereka dimengertikan oleh Parti dan juga PR.
Sebagai contoh: Ketua cawangan PAS bertindak sebagai Ketua Kampung sukarela (tidak
diiktiraf oleh parti pemerintah) membantu segala urusan yang termampu. Yang
penting kurangkan protokol dan sentiasa berkhidmat dengan perihatin terhadap
masalah penduduk. Apa yang boleh dibuat oleh Ketua Kampung
Sukarelawan….perbagai bentuk dan urusan boleh dilakukan selagi inya tidak
menyalahi undang-undang dan perlembagaan. Tak kan urusan mengurus dan mengambil
borang zakat kepada penduduk kampung menjadi satu kesalahan sebagai contohnya.
Begitu juga Ahli Majlis Sukarelawan (Majlis Tempatan)
membina hubungan dengan pihak berkuasa tempatan menyelesaikan segala isu dan
masalah berkaitan masyarakat dan Majlis tempatan dengan lebih berkesan lagi.
Selagi mana Parti dan PR boleh mendekati masyarakat dan penduduk disesuatu
kawasan maka inilah perubahan yang bakal kita lihat untuk masa depan. PR harus
proaktif dalam merealisasikan harapan ini, pengharapan beginilah yang akan
memertabatkan agenda rakyat yang akan memastikan kemenangan kepada Kerajaan
Pakatan Rakyat dalam PRU 14. Itu adalah ideanya, makanisma dan perlaksanaan
harus difikir oleh Parti Pembakang dan Pakatan Rakyat sendiri.
Bukanlah sesuatu keterlaluan dengan mengadakan Himpunan dan
dan Demonstrasi tetapi fokuskan keutamaannya, biarlah setiap himpunan itu
mempunyai nilai yang tersendiri dan memberi impak yang berkesan. Rakyat
menilai seolah sekadar gimik sahaja tampa ada kesudahannya. Angan-angan Mat jenin tidak akan menjadi
kenyataan jika tidak fikir keseriusan nya.
No comments:
Post a Comment