Saturday, August 27, 2011

PERUTUSAN RAYA


Alhamdulillah, marilah kita panjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita umat Islam menyambut AidilFitri setelah melalui ujian sebulan berpuasa . Bagi Adil Kapar saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam umumnya.

Aidil fitri adalah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang bertakwa yang berjaya membebaskan diri dari belenggu hawa nafsu dan seterusnya meneruskan jihad dalam mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah swt. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan dalam merobah corak politik tanah ke arah yang lebih adil saya mendoakan agar anda semua sentiasa berjiwa kental dan sentiasa bersama memberi sumbangan dalam perjuangan kita. Janganlah kita leka akan tanggungjawab dan amanah yang telah diletakkan di bahu kita sebagai hamba kepada Allah dan juga anak kepada kedua ibubapa kita serta kepada negara.

Buatlah yang terbaik, semoga usaha anda itu akan menambahkan lagi sinar di dalam kehidupan masing-masing. Sifat sabar juga harus ditekankan di dalam semua aspek kehidupan. Janganlah kerana terlalu gembira kita melupakan adab-adab yang diajarkan Islam dalam menyambut Hari Raya ini. Kita juga seharusnya berasa bersyukur kerana kita masih dapat merayakan hari raya dengan ahli keluarga tersayang tatkala ada di antara kita yang kehilangan orang yang dikasihi sebelum hari raya ini. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk memohon kemaafan dan memaafkan antara satu dengan yang lain. Kita jauhkan rasa dendam dan irihati demi kepentingan umat Islam seluruhnya.

Di dalam kegembiraan kita meraikan hari raya ini, haruslah kita ingat akan saudara mara kita yang sedang menghadapai ujian dari Allah SWT. Kita mendoakan agar saudara mara kita di Palestin, Chechnya, Kashmir dan dimanamana sahaja tabah dan redha akan ujian ini. Sesungguhnya ujian ini adalah tarbiyyah dari Allah, untuk menguji samada kita akan bersabar atau sebaliknya. Seterusnya pada kesempatan ini saya juga mengucapkan terima kasih kepada para sahabat yang bersama dalam meneruskan agenda pembaharuan dalam politik Malaysia.
GENERASI PEMBAHARUAN MEMPERJUANGKAN SURVIVAL POLITIK BARU UNTUK MALAYSIA BARU " BANGUNLAH, LALU BERILAH PERINGATAN"!!

Dikesempatan ini juga kita akan meraikan Kemerdekaan Malaysia dan ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka Buat semua rakyat Malaysia

No comments: